PH, BN Kedah bentuk majlis pimpinan perpaduan, persediaan hadapi PRN

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah melakarkan sejarah apabila menubuhkan Majlis Pimpinan Perpaduan negeri bagi memperkukuhkan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung di Pejabat UMNO itu dipengerusikan oleh Pengerusi bersama Datuk Seri Mahadzir Khalid mewakili BN manakala PH diwakili Datuk Mahfuz Omar.

Katanya sejarah telah tercipta hari ini apabila PH dan BN Kedah buat julung kalinya bermesyuarat secara rasmi melibatkan kedua-dua pimpinan utama parti.

“Mereka berdua juga telah dilantik menjadi pengerusi kepada Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah. Selain Timbalan; Naib Pengerusi; Setiausaha dan Bendahari, sebanyak empat jawatankuasa juga telah dibentuk.

“Jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Perundingan Kerusi; Jawatankuasa Pilihanraya; Jawatankuasa Komunikasi dan Strategik serta Jawatankuasa Manifesto.

“Seterusnya beberapa jawatankuasa juga akan dibentuk di peringkat Parlimen. Beberapa program untuk membawa naratif Perpaduan Madani Kedah sedang berjalan dan pada masa sama beberapa program besar juga sedang disusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, semua ahli mesyuarat menyatakan keyakinan mampu untuk mengambil alih kerajaan Kedah dalam PRN akan datang.

Selain Kedah, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BACA JUGA: Sanusi pemfitnah nombor satu Kedah, kata Mahfuz