PN diingat agar berpolitik secara matang, jangan fitnah ‘atas darat’ – AMANAH
Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar berpolitik secara matang dan meninggalkan fitnah ‘atas darat’ atau pembohongan secara terangan-terangan.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ridzwan Abu Bakar menyifatkan fitnah yang dilakukan PN sebenarnya boleh dikesan secara sepintas lalu oleh golongan masyarakat.
”Dalam konteks PN pada hari ini, fitnah mereka adalah yang betul-betul nampak di atas darat. Orang Kedah kata di atas darat itu maksudnya fitnah yang jelas (nyata).
”Ia seperti fitnah yang tidak cuba ditutup-tutup, malah nampak ‘terbuka’. Jadi secara sepintas lalu, kita sudah tahu ianya adalah fitnah.
”Contohnya, tentang isu Datuk Mahfuz Omar. Apabila beliau menang saman, maka mereka cuba putar belit (spin) kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan pengharaman judi, padahal ia tiada kaitan pun,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Beliau mengulas mengenai ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini telah membuka tujuh kertas siasatan melibatkan isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R) bagi tempoh 27 Mac sehingga 6 April lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau berbaur ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial, akan diambil tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, Ridzwan turut mengambil contoh tentang isu tuntutan bertindih China di Laut China Selatan yang menyaksikan Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak bertanggungjawab dan kononnya berlaku penggadaian kedaulatan negara.
”Padahal PM Anwar menyebut secara jelas bahawasanya usaha cari gali tetap akan berlaku di tempat tersebut. Jadi ini yang kita sebutkan sebagai fitnah atas darat.
”PN tinggalkanlah fitnah itu terutamanya kepada Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada masa sama, saya juga ingin mengingatkan ahli-ahli politik yang dah lanjut usia ini, buanglah segera budaya membina persepsi tidak baik kepada PM Anwar dan juga institusi negara kita,” katanya.
Mengenai 3R, katanya beliau menyokong langkah yang diambil PDRM dalam menangani isu berkenaan yang dilihat akan meninggalkan kesan tidak baik sekiranya dibiarkan.
”3R adalah isu yang sering dimainkan dalam siri pilihan raya sebelum ini dan ia dilihat memberi kesan yang amat tidak baik kepada politik di negara kita.
”Jadi, kita mengalu-alukan tindakan PDRM untuk membuka kertas siasatan seterusnya mengambil tindakan kepada mereka yang memainkan isu panas ini dan juga isu-isu yang tidak berpijak di bumi yang nyata,” ujarnya.
BACA JUGA: Teruskan menghasut, ini ‘khabar baik’ buat pencetus isu 3R
Â