Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kakitangan awam, pesara diawalkan ke 14 April

Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan daripada 17 April kepada 14 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata perubahan tarikh itu dilakukan bagi meringankan beban penjawat awam dalam melakukan persiapan menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi, kerajaan telah bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan daripada 17 April 2023 kepada 14 April 2023.

“Tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi surat rasmi kepada semua ketua setiausaha kementerian hari ini.

Surat itu juga ditujukan kepada semua ketua jabatan Persekutuan, Setiausaha kerajaan negeri, pihak berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberiaan BKKA sebanyak RM700 kepada kakitangan awam dan RM350 kepada pesara.

Pemberian BKKA adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April ini.

BACA JUGA: Kakitangan awam dapat bantuan khas RM700 sempena Aidilfitri