Bukan setakat Hadi, Sanusi pun patut disiasat kerana perkauman – Faiz

Selepas kertas siasatan dibuka terhadap dua ahli Parlimen Pas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi juga patut diheret dan disiasat sama kerana pernah mencabar Perlembagaan demi menaikkan sentimen perkauman.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan pemimpin Pas itu pernah mengeluarkan ucapan provokasi apabila mempertikai kedaulatan Pulau Pinang dengan mengingatkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah.

Selain itu, kata Faiz, seorang penceramah agama, Ustaz Mutalib Maarof juga wajar diambil tindakan selepas mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja, dengan mengatakan Raja dan Sultan perlu duduk di bawah ulama.

“Tiada siapa yang berada di atas undang-undang, selagi dia telah melanggar undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil.

“Pemimpin lain yang patut diambil tindakan termasuk Sanusi, dan Ustaz Mutalib Maaraof kerana dua orang ini telah melampaui batas dengan mencabar perlembagaan demi menaikkan sentimen perkauman,” katanya.

Faiz Fadzil

Faiz menegaskan bahawa pembangkang seharusnya memainkan peranan penting sebagai pembangkang yang membina dengan membangkitkan isu-isu berkaitan rakyat khususnya agenda ekonomi.

Mereka juga, tegasnya harus berhenti membangkitkan isu membabitkan 3R (bangsa, agama dan raja) kerana ia tidak sihat dan bercanggah dengan amalan demokrasi.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilapor sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN).

Kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Abdul Hadi disiasat kerana kenyataannya pada Ogos tahun lalu, mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara, selain memberi perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah ‘penyakit denggi’.

Sementara itu, Muhammad Fawwaz yang jugaAhli Jawatankuasa Lajnah Keahlian Ulamak Pelapis didakwa memfitnah orang bukan Islam menerusi entri di Facebooknya.

“… Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran,” kata Fawwaz.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, tindakan yang diambil terhadap dua Ahli Parlimen Pas itu bukan soal amaran semata-mata tetapi ia merupakan prinsip keluhuran undang-undang di mana kerajaan perlu menegakkan undang-undang.

“Siapa yang langgar undang-undang perlu disiasat dan didakwa mengikut saluran yang benar. Biarkan undang-undang berjalan,” tambahnya lagi.