Exco Pemuda UMNO Najmil Faiz mohon maaf kepada Hannah Yeoh

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tiga tahun lalu.

Hannah berkata, pada 5 April lalu, penghakiman persetujuan telah direkodkan dan Dr Najmil telah bersetuju menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan dikeluarkan kepadanya.

”Saya telah mengambil tindakan mahkamah terhadap Dr Najmil Faiz berkenaan kenyataannya bahawa saya cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat dengan memburukkan kepimpinan Islam seolah-olah mengatakan Islam menyokong perkahwinan bawah umur.

”Kenyataan itu telah diterbitkan di akaun media sosial beliau pada 10 Mac 2020. Permohonan maaf tersebut disiarkan dalam media sosialnya di Twitter dan Facebook,” maklum Hannah menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Susulan kes yang berlarutan hingga tiga tahun itu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut merakamkan ucapan terima kasih kepada peguamnya, Syahredzan Johan.

BACA JUGA: Hannah Yeoh serikan berita RTM, dipuji berbakat jadi pembaca berita