Fitnah orang bukan Islam: MP Pas sudah beri keterangan kelmarin

Wakil rakyat Pas, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mengesahkan sudah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaannya memfitnah orang bukan Islam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, dia tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Pulau Pinang kelmarin.

Jelas Exco Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang berkenaan, kes tersebut adalah kes lama yang berlaku pada Januari tahun lalu.

Walau bagaimanapun, dia bersedia memberikan kerjasama untuk siasatan kes mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan itu.

Dalam masa sama, CEO Yayasan Darul Hadis Al Filfilaniyyah itu berpendapat isu tersebut sengaja diada-adakan.

“Tiada apa, saya rasa kes ini sengaja dibuat isu saja.

“Saya sudah memberi keterangan Jumaat lalu (7 April) di IPD Timur Laut tanpa kehadiran peguam dan memberikan kerjasama yang baik,” dipetik BH.

Sebelum ini, pemimpin Pas berkenaan menerusi hantaran di Facebook Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, “Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.’

Walau bagaimanapun, bekas pentadbir Facebooknya memohon maaf di atas kenyataan itu.

“Saya memohon beribu kemaafan di atas kecuaian dan kekhilafan yang berlaku, posting ini tidak berniat untuk menyingung perasaan mana-mana pihak atau perkauman.

“Posting ini juga bukan daripada YB tetapi daripada admin (pentadbir) yang bertugas. Kenyataan ini tidak ada kaitan dengan YB Ustaz Fawwaz dan tanpa pengetahuan YB,” katanya di ruangan komen.

LANJUT MENYUSUL