KPDN Selangor rampas beg tangan berjenama tiruan bernilai RM1 juta
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas 10,000 unit beg tangan berjenama tiruan dengan anggaran nilai rampas RM1 juta di sekitar Klang, Selangor hari ini.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, dalam serbuan pada pukul 1 tengah hari, turut ditahan adalah empat individu termasuk tiga wanita berusia 18 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.
Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan selepas hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu oleh pasukan risikan KPDN Selangor terhadap dua premis yang disyaki menyimpan dan menjual barangan jenis beg tangan berjenama eksklusif dan terkenal.
Jelasnya, risikan dan serbuan juga adalah hasil kerjasama daripada wakil cap dagangan berdaftar mengenai aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan yang diwakili.
“Hasil tindakan serbuan mendapati sejumlah 12 jenama ditemui digunakan dengan salah pada beg tangan yang disimpan di stor simpanan dan dijual di premis yang diserbu.
“Anggaran jumlah barangan yang ditemui dalam dua premis adalah 10,000 unit beg tangan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1 juta.
“Setakat ini, ia adalah nilai rampasan terbesar pada tahun ini mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zuhairi memaklumkan, premis berkenaan sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, sitaan telah dilakukan ke atas semua barang rampasan dan seterusnya disimpan dan dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
“Pihak KPDN ingin menegaskan tindakan penguatkuasaan melibatkan perlindungan harta intelek akan terus digiatkan bagi melindungi hak harta intelek awam,” ujarnya
Untuk rekod mana-mana individu yang didapati bersalah menjual barangan tiruan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.