Pas tidak kisah tanggung ‘biawak hidup’ sebab Bersatu lubuk duit

Pas didakwa sudah hanyut dengan kebendaan sekali gus menyukarkan parti itu untuk memutuskan kerjasama dengan rakan sekutunya, Bersatu yang sedang berhadapan beberapa kes rasuah.

Ini menyebabkan, Pas tidak lagi memperjuangkan soal prinsip menentang rasuah kerana kebergantungan ‘parti hijau’ itu kepada Bersatu banyak kepada unsur yang berkaitan elemen kewangan dan kebendaan demi kelangsungan politik.

Mahfuz Omar

Demikian dakwa Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berikutan terdedahnya satu persatu kegiatan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin Bersatu.

“Bagi dia (Pas), soal Bersatu ada kes mahkamah, dia tak peduli dah kerana dia banyak bergantung dari segi kewangan kepada Bersatu.

“Sebab itu, kalau kita lihat pilihan raya yang lalu, perbelanjaan mereka sangat mewah.

“Bersatu pernah mengepalai kerajaan, Mahiaddin pernah jadi PM, sudah tentu ada unsur-unsur seperti mana yang terdedah dalam kes Jana Wibawa.

“Jadi, sebab itu sukar juga bagi Pas nak melepaskan Bersatu yang ada daya penarik sendiri untuk Pas terus bersama dengannya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Selain Mahiaddin, beberapa pemimpin Bersatu yang juga sedang berhadapan dengan kes mahkamah ialah bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan.

Mahiaddin yang terkenal dengan panggilan ‘Abah’ didakwa di mahkamah atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Pendakwaan terbabit menjadikan Presiden Bersatu itu sebagai bekas perdana menteri kedua didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

Wan Saiful didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah, dengan mahkamah menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Adam Radlan pula menghadapi lima pertuduhan rasuah yang turut membabitkan projek Jana Wibawa.

Mengulas lanjut ketika ditanya tentang khabar kononnya bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bakal menyertai Pas, Mahfuz berkata penyertaan itu tidak akan memberi sebarang mata tambah kepada Perikatan Nasional (PN).

“Saya lihat kalau Annuar sertai Pas sekalipun, dia tidak menambahkan apa-apa kepada kepada Pas.

“Annuar juga tidak menambah kepada kekuatan PN itu sendiri sebab sejak daripada pilihan raya dulu pun, Annuar sudah dianggap bersama dengan dengan mereka.

“Pemikiran dia itu sejak awal lagi sudah bersama dengan mereka. Jadi, tiada apa-apa tambah nilai yang akan diperoleh daripada kemasukan Annuar Musa dalam Pas ataupun dalam mana-mana parti dalam PN,” tambah Mahfuz lagi.

BACA JUGA Negeri Sembilan aman sebab tiada Pas, Bersatu