Permintaan tambahan dua kerusi DUN Umno masih di peringkat awal

Permintaan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk mendapatkan tambahan dua kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) masih belum dimuktamadkan oleh peringkat pusat Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, perbincangan PH-BN mengenai agihan kerusi yang dipertandingkan juga masih belum diputuskan.

“Pertemuan Pengerusi PH negeri (Datuk Seri Aminuddin Harun) dengan BN itu masih di fasa awal iaitu mengetahui hasrat masing-masing yang ingin disepakati tetapi perbincangan tersebut masih belum dibuat secara mendalam,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Pada masa ini, PH menguasai 20 kerusi DUN manakala BN 16 DUN.

MK Ibrahim Abd Rahman

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai perbincangan pembahagian kerusi PH-BN menjelang PRN pada Julai ini.

Mengulas lanjut, MK Ibrahim turut bersependapat dengan komitmen BN yang ingin memastikan tiada pertembungan calon PH-BN.

“Hasrat yang diutarakan BN (mengelak pertindihan kawasan DUN) wajar disepakati kerana ia memudahkan kita berlawan dengan PN dan memberi peluang cerah untuk kita memenangi PRN ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar komponen PH-BN terus mempertahankan kerusi yang dimenangi bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui selama ini.

“Apa yang lebih penting ialah kita pertahankan kerusi yang kita menang bagi mengekalkan siri kejayaan kerajaan negeri yang dikecapi selama ini,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan dua buah kerusi DUN tambahan daripada Umno negeri.

ADUN Sikamat itu memberi jaminan untuk membawa hasrat rakan komponen Kerajaan Perpaduan berkenaan ke peringkat tertinggi PH pusat bagi memuktamadkan perbincangan tersebut.