Tanah Rizab Melayu Selangor meningkat lepas Pas tiada dalam kerajaan – MB

Datuk Seri Amirudin Shari membidas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi bahawa jumlah Tanah Rizab Melayu di negeri tersebut menurun mendadak berbanding ketika parti itu bersama Pakatan Rakyat.

Menteri Besar berkata kenyataan wakil rakyat Sijangkang itu sebagai satu dakwaan yang dangkal.

Beliau menjelaskan fakta sebenarnya ialah keluasan Tanah Rizab Melayu di Selangor meningkat sebanyak 343.21 hektar (848.09 ekar) dari tahun 2018 kepada 2022.

Pada tahun 2018 jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu di Selangor adalah 162,162.04 hektar dan ia meningkat kepada 162,505.25 hektar pada 2022.

“Jumlah Tanah Rizab Melayu di Selangor meningkat setelah Pas tiada dalam kerajaan,” tegas Amirudin dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan Dr Ahmad Yunus yang mendakwa, berdasarkan isu data Rizab Tanah Melayu setakat 30 November 2022 mendapati ia turun sebanyak 3,200 hektar pada 2019 hingga 2021.

“Pas telah memerintah Negeri Selangor melalui Pakatan Rakyat pada tahun 2008, sejak itu Rizab Tanah Melayu mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak lebih 30,000 hektar.

“Namun, jumlah Rizab Tanah Melayu mulai menurun secara mendadak daripada tahun 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar,” katanya.

Ahmad Yunus memberikan kenyataan tersebur berdasarkan kepada kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik bin Nik Ahmad yang berkata, rizab tanah di beberapa negeri mengalami penurunan.

Sebelum ini Nik Nazmi berkata berdasarkan data daripada Pengarah  Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) menunjukkan berlaku penurunan luas tanah Rizab Melayu di Kedah pada tahun 2022, jika dibandingkan 2021.

Pada tahun 2022 jumlah Rizab Tanah Melayu di Kedah adalah 716,514.28 hektar. Keluasan tanah ini berkurangan sebanyak 5,351.65 hektar berbanding tahun 2021 (721,888.93 hektar).

Bagaimanapun, kerajaan Kedah menafikan angka tersebut sebaliknya mendakwa jumlah Tanah Rizab Melayu negeri itu meningkat jika dilihat kepada data terkini hingga 2023.

Pas berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum keluar pada tahun 2015.

BACA JUGA: Tanah Rizab Melayu: MP PN terperangkap dengan permainan sendiri – Nik Nazmi