Terserah kepada Lembaga Pengampunan, Umno ikut prosedur perundangan

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terserah kepada Lembaga Pengampunan selepas parti itu mengikut prosedur perundangan sedia ada.

Menurutnya, permohonan Umno kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak juga tiada desakan politik.

“Kami sebagai sebuah parti politik tentunya mengikut semua prosedur perundangan sedia ada dan apabila prosedur diikuti, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan,” dipetik Bernama.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Kelantan 2023 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, Machang semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menambah pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Seri Paduka Baginda.

Dalam hal berkaitan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin berkata, sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan.

Perdana Menteri berkata, tidak seharusnya berbangkit isu dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan.

Beliau juga akan menjadi sebahagian daripada anggota Lembaga Pengampunan atas kapasitinya sebagai menjaga portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan berhubung hukuman menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadapnya.

BACA JUGA Kekal di penjara, permohonan semakan Najib ditolak