‘Tidak bermoral tuduh PM jual kedaulatan negara’

Biarpun berbeza politik kepartian tetapi janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara sehingga menuduh Perdana Menteri menjual negara, kata Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu berkata, menuduh Perdana Menteri hendak menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan tidak bermoral.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan seorang Youtuber berkenaan isu sempadan laut negara yang disifatkan oleh bekas pensyarah sains Politik itu sebagai ‘sangat berbahaya’.

“Video tersebut mengecam PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai individu yang “membodek China seolah-olah tak ingat dunia,” ekoran kenyataan PM yang mahu berunding dengan China mengenai pertindihan kawasan cari gali petroleum di kawasan ZEE (zon ekonomi eksklusif) oleh Petronas.

“Kenyataan PM bukan mengiktiraf kawasan ZEE itu milik China, tetapi mempertahankan kawasan tersebut sebagai kawasan milik negara kita di meja rundingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam kehidupan bernegara, tanggungjawab utama semua pemimpin politik adalah membawa naratif yang betul kepada masyarakat dan bukannya memanipulasikan demi mendapat sokongan semata-mata.

“Salahkah PM mengatakan akan mempertahankan wilayah Malaysia melalui meja perundingan?” bidasnya.

Walhal, tegasnya, rundingan itu sangat penting untuk negara menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutama dengan China yang merupakan kuasa terbesar dunia.

Sehubungan itu, Agus menyeru supaya orang ramai berpolitik berasaskan fakta kerana semua pihak mahukan yang terbaik untuk Malaysia.

“Tidak puas hati dengan keputusan PM, tegur dan kritiklah secara berhemah,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri beberapa kali menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur berhubung isu perairan Laut China Selatan yang kini menjadi pertikaian dengan China.

Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan tersebut turut menyifatkan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai individu bermasalah dan tidak meneliti kenyataan yang dikeluarkan beliau.

BACA JUGA Tiga sebab kenapa Anwar akan kekal hingga habis penggal