Tiga sebab kenapa Anwar akan kekal hingga habis penggal

Ahli veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, terdapat tiga sebab mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal pentadbirannya.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Anwar telah berjaya dalam tiga ujian utama semasa sidang Dewan Rakyat selama lapan minggu lalu.

Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN), kata Penasihat DAP itu, gagal dalam usaha mereka untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Anwar.

Menurutnya, faktor pertama yang akan mengukuhkan kedudukan pentadbiran Anwar adalah kelulusan usul menjunjung Titah Diraja sempena Pembukaan Parlimen ke-15.

“Yang kedua adalah Kelulusan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

“Dan yang ketiga, mengekalkan harapan rakyat Malaysia untuk mengelakkan Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dalam dekad-dekad yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kit Siang berkata, usaha pemimpin PN untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Anwar yang dikatakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ‘hak pembangkang’, telah gagal.

Beliau berkata, barisan pembangkang telah menjadikan politik negara jatuh ke tahap terendah apabila membuat pertuduhan tidak masuk akal mengenai Islamofobia dan mengeluarkan dakwaan bahawa rakyat Malaysia menjual organ untuk kelangsungan hidup tanpa sebarang rasa bersalah.

“Para pemimpin politik dalam PN gagal untuk mengambil peranan dalam memimpin untuk membersihkan arena media sosial dan landskap maklumat negara dari penipuan, fitnah, dan berita palsu, sebaliknya mereka menambahkan kekotoran, penipuan, fitnah, dan berita palsu.

“Malah, mereka juga telah mengabaikan nasihat dari Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk ‘mencapai bintang di langit’,” katanya.

Kit Siang menambah, ujian seterusnya untuk Kerajaan Perpaduan Anwar selepas ini adalah pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

“Tetapi, ujian ini bukan hanya untuk Kerajaan Perpaduan Anwar, sebaliknya ia akan menjadi ujian mengenai sama ada Malaysia masih ada masa hadapan untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah-belah, gagal, dan kleptokratik,” tegasnya lagi.

BACA JUGA Tempoh seminggu kepada Anwar: Apa agenda Mahathir?