1 Syawal: Sultan Selangor nasihatkan bertenang, tunggu keputusan pihak berkuasa

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan seluruh umat Islam di Selangor khususnya agar menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444H kepada pihak berkuasa.

Baginda menyeru umat Islam agar kekal tenang dan tertib dalam keadaan harmoni serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan sementara menunggu pengisytiharan rasmi tarikh Hari Raya Puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 20 April ini iaitu petang 29 Ramadan 1444H.

“Baginda ingin mengingatkan umat Islam di negara ini bahawasanya Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Ru’yah dan Hisab.

“Baginda juga telah menitahkan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor untuk memberi penjelasan mengenai kaedah dalam penentuan awal Ramadan dan awal Syawal sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW iaitu berdasarkan ru’yah hilal atau melihat anak bulan,” kata Selangor Royal Office dalam kenyataan semalam.

Susulan titah Sultan Selangor itu, Jabatan Mufti Selangor telah mengeluarkan kenyataan pada 7 April 2023 bertajuk “Prinsip Asas Dalam Penentuan Tarikh Hari Raya di Malaysia”.

Sultan Sharafuddin menitahkan kepada Mufti Selangor (kiri) agar menjelaskan kepada umat Islam tentang kaedah penetapan tarikh awal puasa dan Hari Raya berdasarkan nas al-Quran dan hadis Nabi SAW. Foto FB Selangor Royal Office

Mufti Selangor Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir berkata Islam telah menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadan dan awal Syawal.

“Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah berdasarkan rukyah hilal atau melihat anak bulan.

Hanyasanya jika hilal tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka dalam hal ini terdapat perbezaan pandangan ulama’ dalam menerima hisab ahli ahli falak,” katanya.

Jelas beliau Malaysia telah mengamalkan penggunaan kriteria Imkan ar-Ru’ yah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah sejak tahun 1992.

Katanya kriteria ini telah ditambahbaik bermula bulan Muharam 1443H setelah kajan semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.

Imkan ar-Ruyah sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabilaa memenuhi syarat-syarat berikut:

Ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.

Jelas beliau lagi, hitungan ahl-ahli falak adalah sesuatu yang bersifat tidak muktamad dalam penentuan 1 Syawal khususnya.

“Keputusan akhir adalah pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 buah lokasi yang telah ditetapkan,” kata beliau.

Dalam hal ini Anhar berkata permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara.

Katanya setiap negara mempunyai matla’ ru’ yah (kaedah rukyah) yang berbeza dan penentuan awal Syawal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada hasil kenampakan hilal di negara lain atau data-data kedudukan hilal di negara lain.

“Sebagai penegasan, bilangan hari dalam sebulan menurut kalendar Islam adalah sama ada 29 atau 30 hari sahaja. Maka, adalah dinasihatkan untuk masyarakat Islam kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadhan 1444H bersamaan 20 April 2023,” kata beliau.

BACA JUGA: Data analisis anak bulan Syawal berada pada posisi sukar dilihat – JUPEM