Aidilfitri: KPM umum cuti khas tambahan sekolah 19 April – Menteri

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan cuti khas tambahan persekolahan pada 19 April (Rabu) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata cuti itu bagi membolehkan murid-murid dan guru-guru membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Kementerian umumkan bahawa pada 19 April isytihar cuti khas untuk semua warga KPM. Jadi, 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti di Putrajaya hari ini.

Pada 8 April lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon KPM memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini, menjelang sambutan Aidilfitri.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata cuti khas itu dianggap keperluan dengan mengambil kira jangkaan bahawa 1 Syawal mungkin jatuh pada 21 April ini, iaitu awal sehari berbanding ketetapan asal.