Akar umbi Umno akan undi PH

Akar umbi Umno diajak untuk sama-sama memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menjelaskan pihaknya kini dalam proses meyakinkan ahli dan akar umbi UMNO supaya terus memberi undi kepada calon BN dan PH yang bertanding kelak.

“Sokongan itu bukan saja melibatkan calon Barisan Nasional malah dari parti lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Kita (UMNO) di Selangor sememangnya sudah bersedia menghadapi PRN di bawah Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia, hari ini.

Menurutnya, rundingan bersama pengurusan tertinggi UMNO negeri dan pusat selepas Aidilfitri akan menentukan jumlah kerusi yang bakal ditandingi kelak.

Dalam pada itu, Jamal berkata bahawa tiada pertembungan calon antara BN dan PH di PRN bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Sungai Besar, iaitu Sungai Panjang dan Sekinchan.

Katanya, kerusi DUN Sungai Panjang masih di bawah BN menerusi Datuk Mohd Imran Tamrin manakala Ng Suee Lim pula di Sekinchan di bawah DAP.

“Tiada pertembungan antara dua gabungan itu kali ini dan ia mungkin hanya satu lawan satu (dengan Perikatan Nasional),” ujarnya.

Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan dalam PRU14, 50 daripadanya telah dimenangi oleh PH dan BN menerusi PKR sebanyak 21 kerusi, DAP (16), AMANAH (8) manakala 5 lagi dimenangi BN.