Alice Jawan Empaling dilantik anggota MAVCOM

Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik Datuk Ir. Alice Jawan Empaling sebagai Anggota Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi tempoh tiga tahun.

Menterinya, Anthony Loke berkata lantikan yang berkuat kuasa dari 28 Mac 2023 hingga 27 Mac 2026 itu dibuat atas pengalaman luas Alice Jawan dalam bidang penerbangan.

ALICE JAWAN EMPALING

“Kepakaran, pengalaman luas dan semangat dalam perkhidmatan beliau kepada rakyat akan memainkan peranan penting untuk memacu industri penerbangan negara.

“Ia seiring dengan usaha bagi membangunkan industri penerbangan awam dari segi komersial serta responsif kepada rakyat.

“Oleh itu, MOT dan MAVCOM menantikan penglibatan beliau dan yakin bahawa pelbagai manfaat akan diraih daripada pandangan serta pengetahuan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Alice Jawan Empaling merupakan Setiausaha Tetap semasa Kementerian Pengangkutan Sarawak sejak 1 Oktober tahun lalu.

Beliau turut memegang beberapa jawatan Pengurusan Kanan dan Lembaga Pengarah di Sarawak termasuk sebagai Pengerusi Lembaga Boya dan Api Sarawak, Pengerusi Eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak dan Timbalan Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Anak kelahiran ‘Bumi Kenyalang’ tersebut juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sejak 2021.

BACA JUGA: Peningkatan penerbangan tambahan tunjukkan ekonomi makin pulih