Bekas hakim rayuan Mohd Amran dilantik Ketua Hakim Syarie, KP JKSM

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Amran Mat Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuat kuasa semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah apabila mula menyertai perkhidmatan awam sejak tahun 1994.

“Memulakan tugas sebagai Pegawai Syariah di Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan, selain pernah bertugas sebagai Pendaftar di JKSM dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Sebelum ini beliau juga telah diberikan amanah sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM, Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Ketua Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Jawatan terakhir beliau di JKSM sebagai Hakim Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Na’im berkata Mohd Amran, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian), Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang LLM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Lepasan Ijazah (Pentadbiran dan Perundangan Islam), UIAM.

Sepanjang perkhidmatan, beliau turut pernah mengikuti kursus jangka pendek di The Muslim College of London, katanya.

“Berpandukan kepada pengalaman luas serta kelayakan yang dimiliki, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin dengan kewibawaan beliau untuk menerajui JKSM dalam usaha meneruskan kecemerlangan jabatan.
​
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengucapkan tahniah dan berharap YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain dapat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah,” katanya.

Jawatan Ketua Hakim Syarie sebelum ini disandang oleh Mohd. Na’im sebelum beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hujung tahun lalu.

BACA JUGA: JKSM: Serlahlah keindahan sistem keadilan Islam – Menteri