Kerajaan disyor naikkan had simpanan sukarela KWSP

Senator Dewan Negara, Hasbie Muda mencadangkan agar kerajaan menaikkan had simpanan sukarela dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), supaya pencarum dapat memaksimumkan nilai simpanan tahunan, sekaligus memperoleh pulangan dividen yang lebih besar.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah menambah jumlah caruman sukarela setahun daripada RM60,00 kepada RM100,000.

Namun, Hasbie berkata oleh sebab tidak semua mencarum di KWSP terutama yang bekerja dalam sektor ekonomi gig atau bekerja sendiri, maka caruman sukarela perlu dipromosikan.

“Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan insentif i-Saraan iaitu kerajaan beri sumbangan RM250 kepada pencarum sukarela yang mendaftar dalam i-Saraan. Dalam Belanjawan 2023, nilai tersebut dinaikkan kepada RM300.

“Saya cadangkan had simpanan sukarela pula dinaikkan kerana ini dapat beri peluang untuk pencarum memaksimumkan nilai simpanan tahunan.

“Ini membolehkan mereka akan menerima manfaat yang lebih besar kerana lebih banyak disimpan awal, nilai dividen yang diterima akan lebih besar kerana faktor compounding interest (faedah berganda),” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Sementara itu, Hasbie berpendapat, kebanyakan anak muda mempunyai pendapatan yang besar tetapi belum ada komitmen hutang, justeru baki duit yang ada boleh disimpan di dalam KWSP.

Hasbie sebelum ini dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Negara, mengutarakan cadangan agar kerajaan menaikkan had simpanan sukarela KWSP kepada RM150,000 atau RM200,000.

BACA JUGA PN cuba bermain emosi rakyat, gunakan isu pengeluaran KWSP