Kerajaan kaji gubal Akta Pembelaan Awam

Kerajaan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Pembelaan Awam bagi perkhidmatan bantuan guaman membabitkan kes jenayah di negara ini.

Dalam masa sama, kerajaan turut sedang melihat cadangan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam bagi menambah baik serta mereformasi perkhidmatan bantuan guaman kes jenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, cadangan terhadap penggubalan akta khusus dan Pejabat Pembelaan Awam akan dibincang lebih mendalam melalui satu program libat urus.

“Sesi libat urus ini diharap dapat mengumpulkan input dan pandangan peserta mengenai beberapa persoalan dasar berhubung kesesuaian mewujudkan akta khusus untuk perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah di Malaysia.

“Ia termasuk kesediaan ke arah penggubalannya, keterbatasan, kebaikan, cabaran pelaksanaan dan mengenal pasti jika ada keperluan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneliti ikhtiar menggubal akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah juga mendapat akses kepada keadilan.