Kerajaan perlu tegas noktahkan provokasi kaum, agama dan raja

Kerajaan Perpaduan digesa bertindak dengan lebih tegas terhadap pihak yang sengaja mencetus provokasi berunsur elemen 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) di negara ini.

Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar berkata tindakan tersebut perlu bagi mengekang isu berkenaan yang dilihat semakin berleluasa apabila sering dimainkan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkara tindakan yang tidak bertanggungjawab mengapi-apikan elemen 3R boleh menimbulkan lebih banyak masalah yang tidak diingini berlaku.

“Kerajaan kena bertindak lebih tegas agar tindakan provokasi yang sering dimainkan oleh pembangkang (PN) dapat dinoktahkan segera.

“Saya menggesa kerajaan supaya membendung provokasi agama, penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Melayu serta isu perkauman kerana perbuatan itu biadab dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya ketika dihubingi Harapan Daily hari ini.

Onn yang juga Pengarah Strategik Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilihat lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara.

Katanya kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat namun maklumat yang dikongsi perlulah disahkan kebenarannya bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.

Jelasnya perbuatan itu boleh menimbulkan fitnah dan kebencian sehingga menyebabkan wujud prasangka yang menebal antara kaum atau agama.

Menurutnya ketegasan dan tindakan berstrategi amat diperlukan agar pencetus dan penyebar fitnah 3R tidak bermaharajalela.

Terdahulu satu kertas siasatan dibuka ke atas Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung kenyataan berunsur perkauman.

BACA JUGA: Bukan setakat Hadi, Sanusi pun patut disiasat kerana perkauman – Faiz