Kerajaan Perpaduan musnah jika Umno gagal main peranan betul, kata Kit Siang

Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memusnahkan diri sendiri jika melanggar prinsip-prinsip utama negara yang baik dan sejauh mana Umno dapat memainkan peranan utama dalam menenuhi tuntutan itu.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya pagi ini berkata, prinsip asas pembinaan negara bangsa Malaysia yang majmuk adalah seperti dinyatakan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Katanya, prestasi buruk Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) adalah bukti bahawa adalah satu kesilapan untuk mempercayai bahawa pengundi Melayu adalah penyokong setia Bossku (Datuk Seri Najib Razak) walaupun terdapat banyak pertuduhan 1MDB di mahkamah.

Ini kerana, jika ia benar, maka Umno tentu menang besar dalam PRU 15 dan bukannya mengalami kekalahan yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana pilihan raya sebelum itu, katanya.

Katanya, pada PRU 15, Umno tewas kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) Pas dan Bersatu kerana mereka kelihatan “bersih dan suci” berbanding Umno, tetapi perkembangan pasca PRU 15 telah menunjukkan bahawa Pas dan Bersatu bukanlah parti sebegitu.

Katanya, sudah terbukti, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Mahiaadin Md Yassin lebih teruk dari kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Bersatu mempunyai skandal rasuah yang lebih besar daripada skandal 1MDB – skandal RM7.2 bilion Jana Wibawa – manakala Pas pula telah mengambil pendirian yang mengejutkan bahawa rasuah disebabkan oleh bukan Islam dengan mengabaikan langkah negara China dalam memerangi rasuah.

“India dan Indonesia juga berjaya dalam usaha memerangi rasuah berbanding Malaysia dalam tiga dekad yang lalu,” kata bekas MP Iskandar Puteri itu.

Katanya, prinsip utama yang perlu dipertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar adalah:

Raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pengasingan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama untuk semua kepercayaan, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah minimum, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, menghormati hak asasi manusia, menamatkan pelbagai ketidakadilan dan ketidaksamaan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman dan keharmonian daripada kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan budaya.

Bagi beliau, Anwar juga mesti memasuki pilihan raya umum di enam negeri pada Julai atau Ogos depan untuk menegakkan prinsip pembinaan negara sebagaimana yang digariskan oleh tiga Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn.

“Malaysia perlu dibina di atas prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan “perpaduan dalam kepelbagaian” berbanding negara teokratik, berpecah, gagal dan kleptokrat pada sambutan 10 Tahun Malaysia pada 2057 nanti,” kata ahli politik veteran itu.