Mazlan hargai pengumuman kerajaan, rayu peneroka juga diberi ‘duit raya’

Persatuan Penasihat Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan pembayaran awal Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform.

Mazlan berkata, keputusan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu amat membantu golongan pesawah, pekebun dan nelayan dalam persiapan menjelang Syawal.

Namun, Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu merayu agar 112,635 peneroka yang bakal meraikan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi turut diberikan bantuan khas berupa duit raya.

“(Pengumuman kerajaan) memang membantu dan dihargai. Dengan cara ini ia membolehkan golongan terbabit buat persiapan Hari Raya lebih awal.

“Cuma saya merayu peneroka Felda juga diberi bantuan khas atau duit raya seperti amalan masa lalu. Jumlahnya terpulang pada budi bicara Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Mazlan Aliman berkata, sumbangan itu dianggap penting bagi golongan peneroka yang kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggu.

Bahkan katanya, pemberian sumbangan itu adalah amalan biasa pada bulan Ramadan setiap tahun bagi meringankan beban peneroka untuk membeli barangan keperluan.

Untuk rekod, hampir sejuta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis) bakal mendapat manfaat daripada pengumuman kerajaan mengawalkan bantuan kewangan Aidilfitri.

Selain BKKA, sebanyak RM1.26 bilion diperuntukkan menerusi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) yang telah diawalkan mulai 5 April lalu.

Ia melibatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.

BACA JUGA Rezeki Syawal, giliran pekebun kecil getah pula bakal terima RM200

Â