Melawan iklim fitnah politik nasional
Dalam sejarah negara, waktu inilah dirasakan iklim fitnah politik di peringkat nasional yang paling buruk sekali. Apa yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kerana adanya media sosial yang mudah digunakan oleh penyebar-penyebar fitnah.
Sejarah negara dikira bermula dengan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Oleh kerana negara memilih sistem demokrasi, maka kerajaan merdeka perlu mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin iaitu pada tahun 1959.
Menjelang pilihan raya itu, parti-parti politik sudah sedia ditubuhkan. Perikatan yang terdiri daripada parti politik Umno, MCA dan MIC mempertahankan jawatannya sebagai pihak kerajaan sementara lawannya yang merupakan pembangkang terdiri daripada antara lainnya. Pas, Parti Negara, Parti Rakyat dan Parti Buruh berusaha untuk mendapatkan kerusi dalam Parlimen.
Pihak kerajaan Perikatan menguasai media massa, daripada akhbar, radio hinggalah kepada Filem Negara Malaysia. Mereka dengan mudah menggunakan alat-alat sebaran am itu untuk mempengaruhi rakyat selama hampir dua tahun menjelang pilihan raya umum.
Ketika itu Darurat. Jadi perhimpunan awam tidak boleh diadakan. Pembangkang hanya boleh mengadakan ceramah-ceramah semasa kempen pilihan raya yang singkat. Ketika kempen, semua parti adalah setaraf, tiada parti kerajaan, tiada parti pembangkang.
Tetapi lebih penting lagi Perikatan yang menjadi kerajaan mempunyai banyak maklumat yang boleh diuruskan untuk meyakinkan rakyat. Lawannya tidak memiliki maklumat. Maka dengan kekurangan ini, ada calon yang menggunakan fitnah untuk memburukkan lawannya. Penyokong Perikatan juga menggunakan fitnah untuk memburukkan imej Pas, Parti Negara dan Parti Rakyat.
Tidak ada parti yang dapat menandingi Perikatan. Sungguhpun begitu, Pas dapat memenangi Kelantan dan Terengganu. Perikatan kembali menjadi kerajaan persekutuan. Adalah tidak dapat diketahui berapa besar peranan fitnah dalam mencorakkan politik negara.
Fitnah tetap fitnah walaupun ada orang yang menganggap politik menghalalkan segala perbuatan buruk, walaupun ia dilaksanakan oleh parti berasaskan agama. Sebagai manusia, fitnah adalah penipuan dan pembohongan yang merupakan perbuatan buruk dan boleh merosakkan negara dari segi jangka pendek dan panjang.
Antara dulu dan kini
Kini, 66 tahun kemudian, penduduk Malaysia sudah mencecah 33 juta lebih. Orang yang boleh menyebar fitnah semakin jauh lebih banyak, maka begitu juga dengan orang yang bersedia mendengar fitnah.
Tetapi paling ketara ialah fitnah lebih mudah tersebar dengan meluas. Ia dapat dilakukan oleh pempengaruh. Apabila mereka mencipta dan menyebar fitnah, bolehlah dipanggil mereka sebagai pemfitnah. Ada juga orang biasa, bukan pempengaruh yang turut mencipta fitnah dan menyebarkannya.
Ada yang melakukannya dan memperoleh bayaran. Ada pula yang sukarela kerana menjadi pendukung pembangkang. Tetapi tidak kurang pula mereka yang melakukannya kerana untuk seronok. Mereka tergamak mereka-reka cipta pembohongan dan tidak merasa bersalah melakukannya.
Mudahnya fitnah tersebar dibantu oleh teknologi. Sesuatu yang tidak dapat dilakukan pada zaman pra-Internet. Media sosial membolehkan fitnah disebarkan secara mudah, murah serta berkesan.
Tidak seperti dulu, kini maklumat mudah diperoleh. Pihak pembangkang juga mudah mendapat maklumat untuk dijadikan bahan bagi mengkritik kerajaan. Mereka tidak perlu menggunakan fitnah. Tetapi kerana hati yang tidak bersih, mereka tetap menggunakan kaedah memfitnah.
Rakyat zaman sekarang, berbanding tahun 1959, adalah lebih terpelajar. Mereka juga mampu bersikap kritikal. Malangnya walaupun generasi bertukar, mereka memilih untuk mempercayai fitnah kerana itu mungkin suatu yang lebih menyeronokkan tanpa mengambil kira ia merupakan suatu kesalahan dan mendatangkan keburukan.
Kegiatan mereka ini mewujudkan iklim fitnah politik yang ada sekarang. Apa yang menjadikan kaedah ini berkesan adalah kerana orang ramai yang tidak berfikiran kritikal, terutamanya anak-anak muda. Sentimen kaum dan agama menjadikan mereka mudah mempercayai fitnah ini.
Oleh kerana pada asasnya mereka sudah menyokong atau simpati pada pembangkang, maka fitnah-fitnah yang ditujukan oleh pihak kerajaan dan pendukungnya mudah saja mereka terima. Bukan itu saja, ia mengukuhkan pendirian politik mereka sebagai penyokong pembangkang.
Sifat semula jadi media sosial pula menjadikan mereka hanya mengikuti dan mengambil tahu hujah-hujah di pihak pembangkang. Mereka hanya berkawan sesama sefahaman mereka. Maka mereka tidak terdedah kepada penjelasan atau penerangan daripada pihak kerajaan.
Jauh sekali mereka hendak mengikuti berita di media massa. Tambahan pula, ada waktunya, laporan media massa pula memihak kepada kerajaan.
Kepercayaan bahawa fitnah itu dibenarkan kerana matlanat menghalalkan cara adalah suatu pegangan berbahaya. Seolah-olah apa jua kejahatan boleh dilakukan atas nama untuk mendapatkan kekuasaan.
Dan apabila memperoleh kuasa, fitnah juga digunakan untuk mempertahankan kuasa. Adakah ini merupakan suatu ajaran yang baik dan benar?
Penggunaan fitnah dalam politik terutama apabila dilakukan oleh parti berasaskan agama akan akhirnya bukan saja memalukan pertubuhan itu tetapi juga mencemarkan gerakan Islam, umat Islam dan agama Islam.
Dalam sejarah Islam sendiri telah banyak berlaku kejadian di mana fitnah digunakan untuk mendapatkan kuasa walaupun dalam rebutan kuasa sesama kumpulan memperjuangkan Islam. Akhirnya ia memecah-belahkan umat Islam hingga turun-temurun dan tidak menyumbang kepada kemajuan Islam.
Fitnah itu haram dan kesalahan dari sudut undang-undang, agama dan moral. Masyarakat mesti dididik untuk menolak fitnah dan menahan diri daripada mencipta fitnah dan menyebarkannya. Integriti seseorang terletak kepada sifat amanah, bukan saja menolak korupsi, tetapi menolak fitnah.
Iklim fitnah politik yang ada sekarang wajar dikurangkan demi masa depan negara dan keharmonian kehidupan rakyatnya.
BACA JUGA: Di sebalik pembangunan masih ada sekolah dan klinik daif
Â