“Nak jatuhkan saya kerana lawan rasuah, silakan” tapi Anwar tekad bersihkan negara
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha membersihkan negara ini dan menyelamatkan bangsa daripada tindakan individu yang merompak kekayaan negara.
Perdana Menteri berkata beliau mengarahkan kerajaan supaya menyelamatkan negara daripada pemimpin-pemimpin yang mengayakan diri dengan merompak harta kekayaan negeri.
“Itu tekad saya, senang susah saya hadapi. Kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan, tetapi saya tidak akan bertolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa kita dan negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.
“Bukan sedikit, dan ini termasuk pimpinan yang ada dalam kerajaan, baik menteri, dalam kalangan kerajaan negeri (exco). Kena ingat, saya arah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) apa, ambil tindakan kepada siapa sahaja yang melakukan rasuah, terutama setelah kita bagi amaran, dia buat juga lagi,” kata beliau lapor Sinar Harian malam tadi.
Anwar berkata demikian ketika berucap melancarkan program “Semarak Tambun Cinta Al-Quran” dan menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ittihadiah, Ipoh semalam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak terlibat dalam kes mahkamah melibatkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
“Apabila kita ambil tindakan (melawan rasuah), kita zalim. Bukan saya ambil tindakan saudara, ini yang paling akhir mantan Menteri Besar Perlis, saya bukan siasat, bukan saya buat laporan ke SPRM atau polis,” katanya.
Terdahulu Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar, Perlis pada Isnin terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.
BACA JUGA: Tiga sebab kenapa Anwar akan kekal hingga habis penggal