Pendedahan politik, demokrasi sudahpun diserap dalam sukatan

Pendedahan isu politik dan demokrasi telahpun diserap ke dalam sukatan pelajaran sekolah untuk meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan pelajar.

“Kita juga ada memberikan penekanan berkaitan dengan isu-isu kewarganegaraan, isu-isu tentang negara di dalam sukatan pelajaran kita,” Menteri Pelajaran Fadhlina Sidek dipetik sebagai berkata oleh laman berita Malaysiakini.

“Dan ini juga berlaku secara bertahap dalam sukatan pelajaran sejarah yang juga memberi penekanan kepada beberapa topik penting, asas tentang demokrasi, sistem beraja, perlembagaan, pengajian am dan juga hak-hak sebagai seorang warga Malaysia.”

Menurut beliau, selain menggunakan sukatan pelajaran sekolah, kementeriannya juga berhasrat mengadakan program di institusi pendidikan untuk meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan belia.

Pada 1 April lalu, Fadhlina memberi jaminan tiada sekatan khusus terhadap mana-mana ahli politik untuk terlibat aktiviti di kawasan sekolah tetapi mereka perlu mendapatkan kebenaran dengan mendapatkan Surat Pekeliling Ikhtisas dari kementerian.

Menurutnya, antara arahan yang perlu dipatuhi ialah larangan paparan logo politik dan kempen parti politik bagi mengelakkan sebarang konflik.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh memaklumkan kesedaran politik di peringkat sekolah penting untuk mempersiapkan golongan yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).