Tiada kompromi dalam hal rasuah, tegas Fadhlina

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terlibat dengan kegiatan rasuah.

Justeru itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memohon ‘keberanian’ daripada orang ramai untuk melaporkan kepada pihaknya sekiranya terdapat aduan yang jelas tentang isu tersebut.

“Saya nak bagi jaminan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan soal rasuah ini. Perkara ini (rasuah) perlu diambil serius. Kita telah menyediakan saluran-saluran dan saya percaya pejabat saya juga telah bersedia menerima aduan sekiranya ada.

“Daripada segi undang-undang dan perlindungan yang sedia ada, kita beri jaminan untuk memastikan aduan-aduan berkenaan akan disiasat,” tegas beliau dalam ucaptama Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti Kementerian Pendidikan Tahun 2023, di kementeriannya, di Putrajaya hari ini.

Pendirian yang diambil beliau adalah selaras dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan rasuah. Perkara ini turut diungkapkan di dalam gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan beliau.

Konsep Madani turut memberi penekanan terhadap nilai manusiawi.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menyifatkan nilai moral sentiasa dipandang tinggi dalam konteks budaya dan masyarakat di negara ini.

“Dalam konteks budaya dan masyarakat kita ini, nilai moral sentiasa dipandang tinggi seperti budi yang baik, adab sopan dan budi pekerti yang sentiasa menjadi keutamaan.

“Sebab itu di KPM ini kita telah memulakan sejak awal lagi tentang konsep Anak Baik dan Cerdik (ABC).

“Anak Baik dan Cerdik ini juga harus dimulakan dengan perkara paling asas tentang membentuk akhlak,” ujarnya lagi.