Undang-undang tanpa pendidikan, penghayatan Rukun Negara tidak berkesan

Pelaksanaan undang-undang tanpa pendidikan dan penghayatan Rukun Negara tetap tidak memberi kesan berpanjangan kepada hubungan kaum yang lebih sihat, kata Exco Majlis Belia Negara (MBM) Mohd Fauzi Fadzil.

“Kita tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei berulang kembali, jadi melalui advokasi pendidikan dan penghayatan Rukun Negara mampu memperkuatkan hubungan antara kaum,” katanya menerusi wawancara Kita kawan: Tolak Sentimen Kebencian dikalangan Masyarakat Majmuk anjuran Institut Darul Ehsan, hari ini.

Seorang lagi anggota dalam sesi wawancara tersebut ialah Eksekutif Maqasid Institut Darul Ehsan, Zulkifli Abd Rahman.

Fauzi berkata langkah itu bukan sahaja mampu memperkukuhkan hubungan diantara kaum bahkan juga boleh meredakan semangat api perkauman yang melampau.

“Rukun Negara ditekan untuk mengingatkan kembali jati diri negara Malaysia bagi meredakan semangat etnik yang melampau.

“Pandangan yang menidakkan (hak) etnik lain itu akan menjadi masalah kepada negara.

Fauzi melontarkan pandangan di atas sebagai balasan kepada persoalan mengenai kaedah perkauman yang dicanangkan oleh parti pembangkang.

Selain itu, Mohd Fauzi yang memegang portfolio pendidikan itu juga menyambut baik langkah yang diambil oleh Kerajaan Madani dalam menanggani isu perkauman.

“Selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) kita lihat banyak isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum di media sosial.

“Oleh sebab itu kerajaan melalui Menteri Komunikasi mula menjalankan siasatan ke atas individu-individu yang melanggar dan menyentuh isu sensitiviti.

“Walaupun masih belum ada (individu) dikenakan undang-undang, tetapi suhu perkauman dilihat lebih reda berbanding sebelum ini,” katanya lagi.

Zulkifli pula menyatakan bahawa semangat asabiyah juga ditolak oleh agama kerana bertentangan dengan fitrah manusia yang dicipta berlainan agama dan bangsa.

Tegasnya, manusia tidak diadili berdasarkan warna kulit sebaliknya kualiti insan itu diukur berdasarkan pada nilai dan bukan bangsa.