Aidilfitri: Skim harga maksimum 30 barangan dilaksana mulai Sabtu – Menteri
Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri melibatkan 30 barangan selama 16 hari bermula Sabtu ini sehingga 30 April.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata senarai barangan itu termasuk kategori ayam dan telur yang telah dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, berkuat kuasa sejak 5 Februari tahun lepas.
Skim itu dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Senarai skim harga maksimum itu membabitkan daging lembu tempatan kecuali daging Batang Pinang, daging lembu import, daging kerbau import dari India, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol, ikan demudok.
Turut tersenarai tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP kali ini bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini lapor Bernama.
Salahuddin berkata kementerian tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh skim kawalan tersebut kerana tempoh 16 hari pelaksanaan adalah mencukupi.
Bagaimanapun, katanya harga barang bersubsidi seperti minyak masak, ayam, telur, tepung dan gula masih kekal selepas tamat tempoh 16 hari tersebut.
Salahuddin berkata senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan SHMMP itu ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan barangan yang dikawal tersebut mencukupi di pasaran dan meminta pengguna tidak membuat pembelian panik.
“Rakyat tak perlu tergesa-gesa dapatkan barangan menjelang hari raya ini sebab bekalan sentiasa ada,” katanya.
Beliau berkata pegawai penguat kuasa kementerian akan ditugaskan di lokasi strategik di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan.
BACA JUGA: 21.5 juta telur diedar, FAMA jamin Aidilfitri cukup bekalan telur