Azlan Man tepis mikrofon wartawan, enggan respon

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man meninggalkan perkarangan mahkamah pada jam 11.15 pagi tadi selepas dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Azlan selepas membayar ikat jamin, terus berlalu pergi dan tidak bertemu media yang menunggu hampir sejam di lobi mahkamah.

Sebelum itu, pihak pemberita diberitahu bahawa bekas ADUN Bintong berkenaan mahu mengadakan sidang media.

Media cuba mengejar mendapatkan komen Azlan selepas perbicaraan hari ini, namun tidak berjaya.

Azlan juga sempat menepis mikrofon wartawan yang ketika itu bertanyakan respon beliau; “Datuk Seri, macam mana tadi?”. “Huh,” spontan kata Azman sambil berlalu pergi.

Reaksi dingin pemimpin Umno itu kemudiannya mengundang persoalan dalam kalangan wartawan dan jurugambar.

Namun, dalam masa sama, pihak media juga memahami, mikrofon yang disua kepada bekas Menteri Besar itu terlalu dekat sehingga mengganggu laluannya.

Terdahulu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta.

Dia hanya mengangguk faham dan memohon supaya dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Azlan, 65, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kerana menerima dana daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Wang itu dikatakan dimasukkan ke akaun bank Azlan antara Februari 2014 dan Disember 2017.

BACA JUGA Bekas MB Perlis didakwa gubah wang haram RM1.06 juta