Kerajaan diingat jangan tolak ansur pihak hangatkan sentimen 3R

Kerajaan Perpaduan digesa agar tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menghangatkan sentimen 3R iaitu kaum, agama dan raja di negara ini.

Pengarah Modal Insan PKR Syed Ibrahim Syed Noh berkata kegagalan dalam menangkis atau memerangi provokasi mainan sentimen 3R oleh Perikatan Nasional (PN) boleh menimbulkan perpecahan.

Tambah beliau, gejala itu memberikan gambaran negatif terhadap kemampuan berfikir, berhujah dan sifat saling hormat-menghormati meskipun wujud perbezaan.

Menurutnya, sentimen 3R amat sensitif dalam negara ini terutama apabila ianya boleh mencetuskan prasangka buruk, ketegangan dan perpecahan.

“Sejarah telah membuktikan kerosakan yang timbul seperti peristiwa 13 Mei, pergolakan kaum di Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

“Sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, prinsip yang wajar dipegang bukannya dengan kayu ukur kaum atau agama semata-mata tetapi prinsip keadilan, kebenaran dan kemanusiaan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Menurut beliau kenyataan yang mengandungi elemen 3R tidak boleh dibiarkan berleluasa sehingga boleh merencatkan kemajuan serta potensi negara dan rakyat.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata agama Islam tidak pernah menghasut penganutnya untuk menyemai kebencian antara satu sama lain.

Sebaliknya kata beliau rasa benci yang dilemparkan kepada kumpulan berbeza berpunca daripada minda tertutup terhadap nilai majmuk dan kepelbagaian.

“Dalam konteks Islam, orang yang mulia tidak disandarkan kepada warna kulit, kedudukan atau kaum tetapi kepada mereka yang paling bertakwa.

“Juga penyampaian agama atau hujah tidak didasarkan kepada kaedah penyampaian pelampau atau ekstrem yang menghina agama atau kaum tetapi melalui hujah, hikmah dan akhlak,” ujarnya.

Terdahulu satu kertas siasatan dibuka ke atas Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berhubung kenyataan berunsur perkauman.