Laporan lengkap nahas udara pemimpin Sabah 1976 disiar mulai hari ini – Menteri
Laporan lengkap siasatan akhir nahas udara membabitkan pemimpin Sabah atau tragedi Double-Six pada 1976 mula disiarkan kepada umum oleh Kementerian Pengangkutan hari ini.
Menterinya Anthony Loke berkata laporan itu dapat dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian Pengangkutan di Https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad.
“Susulan pengumuman Perdana Menteri pada 5 April berkenaan Laporan Siasatan Akhir Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air Nomad N-22B 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 (“Double-Six Tragedy”), saya mengumumkan bahawa proses untuk menyahklasifikasi laporan tersebut telah selesai pada 6 April.
“Sebagai Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab ke atas penerbangan awam dan siasatan kemalangan udara, saya telah mengelaskan semula laporan siasatan akhir tersebut sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anthony laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke Jemaah Menteri pada Mac 1977.
Namun jelasnya hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan hingga membuatkan selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa yang terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara tersebut.
Anthony berkata; “Di peringkat Kementerian Pengangkutan, setiap insiden penerbangan haruslah disiasat secara telus dan menyeluruh untuk menerap kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam membina sebuah industri penerbangan yang berkredibiliti dan menepati piawian tertinggi.
“Kementerian Pengangkutan komited untuk meneruskan dasar keterbukaan ini.”
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris kepada mangsa-mangsa yang terkorban.
Seramai 11 nyawa telah terkorban dalam tragedi Double-Six termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu seperti berikut:
-Tun Fuad Stephens – Ketua Menteri Sabah
-Datuk Peter Joinod Mojuntin – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah
-Datuk Chong Thien Vun – Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah
-Datuk Salleh Sulong – Menteri Kewangan Sabah
-Datuk Darius Binion – Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah
-Datuk Wahid Peter Andau – Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah
-Dr Syed Hussein Wafa – Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah
-Ishak Atan – Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia
-Koperal Said Mohammad – Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah
-Johari Fuad Stephens – Anak kepada Ketua Menteri Sabah
-Gandhi J Nathan – Juruterbang Pesawat 9M-FTZ
Kapal terbang yang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Dalam kejadian pada 6 Jun 1976, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai ketua menteri maut bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas itu bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.
Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan kerajaan menyahklasifikasi laporan nahas pesawat itu.
Hakim Christopher Chin mengeluarkan perintah untuk memaksa kerajaan mendedahkan kepada umum dokumen mengenai nahas itu dan memberi Putrajaya sehingga 8 Jun untuk mematuhinya.
Keputusan oleh Chin adalah untuk tuntutan mahkamah yang difailkan oleh bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh.
BACA JUGA: Kerajaan nyahklasifikasi laporan siasatan nahas udara pemimpin Sabah 1976