Malaysia sedia maklumat lengkap, tepat kes tuntutan waris Sultan Sulu
Kerajaan melancarkan laman web Malaysia-Sulu Case yang mengandungi pelbagai maklumat dan perkembangan terkini tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.
Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Kenyataan itu berkata penyediaan laman web tersebut adalah langkah kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan secara tepat dan sahih.
“Terdapat pelbagai kemusykilan pada “fakta-fakta” kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu.
“Antaranya, sehingga kini, tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa penuntut-penuntut ini benar-benar waris kepada Sultan Sulu,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelasnya, perkara ini berbeza kes kerajaan Malaysia, yang mempunyai laporan Suruhanjaya Cobbold 1963 di mana Sabah telah membuat pilihan untuk bersama-sama dengan Semenanjung dan Sarawak bagi pembentukan Malaysia.
“Memandangkan Malaysia kini sedang berhadapan dengan prosiding di beberapa buah negara Eropah (Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda).
“Ia penting bagi memastikan penyebaran maklumat kes ini adalah tepat sekaligus menafikan penyebaran berita yang tidak benar dan palsu,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, portal tersebut akan dikemas kini serta boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Tagalog.
Tambah kenyataan itu perkara ini membolehkan pihak media antarabangsa mengikuti dan memahami kes tersebut yang dikemukakan oleh kerajaan Malaysia.
“Kerajaan berharap rakyat Malaysia akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan teliti kerana sebarang keputusan yang memihak kepada pihak penuntut akan mempunyai kesan besar kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
“Justeru, kerajaan memberi jaminan untuk terus memelihara kepentingan dan kedaulatan negara serta mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan ini,” tegasnya.
Semalam Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata kesahihan kes tuntutan Kumpulan Sulu itu meragukan kerana status mereka yang membuat tuntutan tersebut benar-benar waris Sultan Jamalul Kiram II atau sebaliknya.
Menurutnya asas tuntutan kumpulan berkenaan hanya berdasarkan kepada perjanjian antara Kesultanan Sulu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad ke-19 dalam tulisan Jawi.
Beliau berkata tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia juga mengabaikan kehendak rakyat Sabah untuk menyertai Malaysia pada 1963 seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Cobbold.
BACA JUGA: Rayuan waris Sultan Sulu ditolak, satu lagi kemenangan buat Malaysia – Azalina