Pakatan Harapan terjejas jika gagal tangani elemen 3R – ADUN Sabak

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Ahmad Mustain Othman menggesa Kerajaan Perpaduan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani isu penghinaan membabitkan elemen 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Katanya, akta dan undang-undang sedia ada sudah merangkumi serta mencukupi untuk menghukum sesiapa sahaja yang cuba mewujudkan sebarang isu berkaitan 3R.

“Gunakan semua undang-undang yang ada di negara ini untuk menyekat 3R, tidak kira undang-undang sekecil mana pun untuk disabitkan dengan kesalahan.

“Manusia ini takut dengan undang-undang. Jangan biarkan sesiapa pun walaupun dia Presiden Pas sekalipun tapi kalau ada unsur-unsur tersebut (3R) kena ambil tindakan segera,” katanya ketika diwawancara Harapan Daily di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sabak, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat banyak pertuduhan melibatkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu 3R.

Ahmad Mustain turut berharap pentadbiran hari ini dapat memandang serius gejala penghinaan yang merangkumi 3R dengan mengambil tindakan proaktif bagi menghalangnya berleluasa.

“Saya bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri dan kerajaan untuk saman dan buat laporan polis kerana situasi ini semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang melakukan penghinaan terhadap isu 3R, kalau tidak ia akan berterusan dan memberi kesan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang boleh bercakap apa sahaja yang disukai kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesan ke atas orang lain dari sudut maruah, kehormatan dan harga diri.

Pada 8 April lalu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka bagi tempoh 27 Mac sehingga 6 April berkaitan kes berkaitan penghinaan institusi diraja, penghinaan agama dan membabitkan elemen perkauman.

BACA JUGA: Teruskan menghasut, ini ‘khabar baik’ buat pencetus isu 3R