Pecutan 10 terakhir Ramadan: Aminuddin komited imarahkan masjid

Meskipun sibuk dengan urusan rasmi, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tetap komited hadir ke qiamullail di Masjid Ar-Raudah Taman Rasa Sayang, Senawang malam tadi.

Beliau berkata, qiamullail di masjid tersebut dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Syukri Ali, yang mesra dikenali sebagai Sudais Malaysia.

“Alhamdulillah, saya berpeluang untuk beriktikaf dan qiamullail di Masjid Ar-Raudah Taman Rasa Sayang, Senawang.

“Saya dan jemaah lain turut berpeluang mendengar kuliah Subuh yang disampaikan Penasihat Agama Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu Al-Fadhil Ustaz Jaafar Mohamad,” kata Aminuddin dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri turut mengajak masyarakat mengimarahkan masjid pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan ini.

“Ayuh sama-sama kita penuhkan malam-malam terakhir Ramadan dengan aktiviti iktikaf dan qiamullail,” seru beliau.

Tinjauan Harapan Daily di ruangan komen Facebook Aminuddin mendapati, rata-rata warganet memuji sikap ditunjukkan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Alhamdulillah syukur negeri ini dapat menteri besar yang serba boleh, dunia dan akhirat,” tulis Ruzi Idris.

Aliah Drherba pula menitipkan doa agar Allah memberi kesihatan yang baik kepada Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

“Terbaik Menteri Besar Negeri Sembilan. Dunia dan akhirat seimbang. Semoga diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segalanya,” kata wanita itu lagi.

BACA JUGA Aminuddin sumbang RM125,000 kepada masjid dan surau dalam Parlimen Port Dickson