PM Anwar harap penggiat seni, pengamal media isi peranan bina Malaysia Madani

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap penggiat seni dan pengamal media dapat mengisi peranan masing-masing dalam membina Malaysia Madani.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama golongan terbabit di Dewan Merdeka, World Trade Center (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, penggiat seni dan pengamal media merupakan lapisan masyarakat yang penting dalam membangun masyarakat madani.

“Terima kasih diucapkan kepada semua kerana sudi meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Besar harapan saya agar hubungan baik yang terjalin dapat kekal berpanjangan dalam kita mengisi peranan masing-masing membina Malaysia Madani,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Antara penyanyi dan selebriti yang hadir ialah Ifa Raziah, Elizabeth Tan, Noorshila Amin, Sufian Suhaimi dan Puteri Aishah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Kasih Ibu, Ampang.

Gagasan ‘Malaysia Madani’ yang menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ diumumkan Anwar pada 19 Januari lalu.

Kerangka dasar baharu membangun negara itu dirumus bagi mencipta lonjakan baharu serta mengangkat semula martabat Malaysia sejurus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

‘Membangun Malaysia Madani’ terdiri daripada enam tonggak dasar, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

BACA JUGA Malaysia MADANI telah gantikan Wawasan Kebangsaan Bersama