Prasarana kemas kini pencapaian KPI setiap bulan di media sosial
Kementerian Pengangkutan telah menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada Prasarana Malaysia Bhd untuk meminimumkan gangguan perkhidmatan sistem tren melalui piawaian Mean Kilometres Between Failures (MKBF).
Menterinya Anthony Loke berkata Prasarana telah menerima baik cabaran itu untuk mempertingkatkan kestabilan perkhidmatan LRT, MRT dan monorel.
“Saya menghargai sumbangan frontliner dan kapten bas dalam menyampaikan perkhidmatan yang lancar serta para engineer yang telah bertungkus lumus di belakang tabir dalam memperbetulkan gangguan perkhidmatan rel baru-baru ini.
“Bagi pihak Prasarana, saya juga telah mengumumkan penambahbaikan insentif kepada warga Prasarana terutamanya frontliners sebagai motivasi untuk meneruskan perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama 1,000 warga Prasarana di Depoh Lembah Subang malam ini.
Terdahulu dalam sidang media selepas majlis itu, Anthony dipetik sebagai berkata Prasarana akan mengemas kini pencapaian KPI tersebut dan menyiarkannya secara bulanan di media sosial.
Pengumuman KPI akan diumumkan di akaun media sosial dan platform berita Prasarana setiap bulan mulai Mei.
Beliau berkata pada masa ini MKBF hanya didedahkan kepada kementerian tetapi kini orang ramai akan dapat mengetahui sama ada MRT dan LRT mengalami sebarang isu.
“Sebarang isu teknikal atau kelewatan melebihi lima minit menjejaskan MKBF, yang pada masa ini berada pada jarak 150,000km.
“Sasaran MKBF ialah 1,000,000km menjelang 2026,” katanya memetik The Star.
Di samping itu, Anthony berkata orang ramai juga akan dapat menilai laporan mingguan mengenai penyelenggaraan kemudahan, faktor perjalanan, jumlah penumpang, eskalator dan lif.
BACA JUGA: Laporan lengkap nahas udara pemimpin Sabah 1976 disiar mulai hari ini – Menteri