Presiden PBM: Peguam Negara bantah Zuraida mahu semak keputusan RoS

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Datuk Zuraida Kamaruddin bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah.

Peguam Persekutuan M Kogilambigai dalam hujahnya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pertikaian dalam PBM adalah perkara dalaman untuk diselesaikan pihak terlibat.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu kerana klausa penyingkiran di bawah Seksyen 18C dalam Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Peguam Mohamed Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida berhujah bahawa pertikaian itu telah diselesaikan dan notis telah dihantar kepada RoS pada Oktober tahun lepas.

“Bagaimanapun, RoS tidak mengiktirafnya sebagai presiden parti,” katanya lapor Bernama.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan 11 Mei untuk penjelasan lanjut dan menyampaikan keputusannya mengenai bantahan Jabatan Peguam Negara itu.

Zuraida, 65, yang memfailkan permohonan itu pada 24 Mac dengan menamakan RoS sebagai responden tunggal memohon pengisytiharan bahawa tindakan jabatan itu mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.

Beliau memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober 2022.

Bekas Ahli Parlimen Ampang dalam afidavit sokongannya berkata beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Oktober 2022 memaklumkan pelantikannya sebagai presiden parti.

Namun Zuraida berkata beliau menerima surat daripada parti bertarikh 19 Disember tahun lepas menyatakan Soon mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden PBM dan menggantung keahliannya (Zuraida).

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata beliau mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.

BACA JUGA: Selepas kecundang PRU15, Presiden PBM sertai Muafakat Nasional