90 peratus agihan kerusi DUN akan dimuktamadkan bulan ini

Hampir 90 peratus kerusi DUN akan dimuktamadkan di dalam rundingan agihan kerusi di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang hujung bulan ini sebagai persediaan ke arah pilihan raya negeri tahun ini.

Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga ialah pengerusi PH Selangor rundingan dengan BN masih berterusan dan perlu dibentangkan kepada pimpinan pusat.

“Rundingan pengagihan kerusi masih berterusan sehingga hari penamaan calon tapi kita telah muktamadkan satu rangka waktu kerja yang akan dimuktamadkan menjelang penghujung April.

“Kita harap ia akan dicapai tetapi sekiranya ia tak tercapai kita akan meneruskan perbincangan kerana strategi kita penting,” kata beliau setelah menghadiri acara #KitaSelangor Aidilfitri yang memberikan insentif khas kepada pengurusan masjid dan guru agama di Selangor.

Daripada sejumlah 56 kerusi DUN Selangor, PKR mempunyai 19 kerusi diikuti oleh DAP (15) dan Amanah (6). BN mempunyai lima kerusi diikuti oleh Bersatu (4), Parti Bangsa Malaysia dan Pejuang masing – masing dua. Pas, Warisan dan Bebas mempunyai satu kerusi.

DUn dijangka dibubarkan pada penghujung Jun. Selain Selangor, lima negeri lain akan turut menyaksikan pilihan raya negeri.

Negeri – negeri tersebut ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.