Garis panduan perkhidmatan – Airbnb akan diumumkan
Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya berada dalam fasa terakhir untuk mengemukakan garis panduan untuk perkhidmatan penyewaan tempat tinggal jangka pendek – Airbnb.
Menterinya Datuk Tiong King Sing berkata garis panduan akan turut meliputi langkah keselamatan di tapak perkhemahan.
“Berikan kami satu dua bulan lagi untuk mengemukakan garis panduan ini,” kata beliau kepada media di satu acara berbuka puasa.
Beliau berkata demikian ekoran aduan pengusaha hotel bajet yang mendakwa bahawa mereka kehilangan pelanggan kerana Airbnb.
Dalam bulan Februari, presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michel meminta kerajaan mengawal selia perniagaan Airbnb agar mereka dapat berniaga secara adil tetapi tuntutan tersebut tidak berjaya.
Semalam Ganesh meminta kerajaan menyelesaikan masalah industri perhotelan sebelum mengajak pengusaha turut serta dalam menawarkan harga Rahmah.