Jamaliah: IPR akan noktahkan miskin tegar

EKSKLUSIF Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin yakin bahawa program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi akan membantu menoktahkan miskin tegar di negara ini.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan itu diharap akan membuahkan hasil seterusnya memberi kehidupan yang lebih baik bagi membantu golongan miskin tegar dan B40.

“IPR merupakan satu program yang kreatif dan bijak kerana ia akan dapat membantu untuk menambah pendapatan rakyat.

“Pada masa yang sama, ia juga boleh membantu daripada segi ekonomi negara dan kelestariannya turut akan memberi kelangsungan terhadap jaminan keselamatan makanan di negara ini,” katanya kepada Harapan Daily ketika di wawancara, baru-baru ini.

Menurutnya, IPR menumpukan usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan.

“Kepelbagaian inisiatif ini merupakan idea baharu dan mantap dan saya berharap semua peserta yang terlibat dapat meningkatkan pendapatan keluarga.

“Diharap juga inisiatif ini dapat membantu rakyat terutamanya di luar bandar dan pedalaman menjana pendapatan untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Jamaliah yang juga penolong setiausaha DAP Selangor berkata skim IPR yang diperkenalkan membuktikan kerajaan bukan hanya beretorik tetapi mahu rakyat berubah ke satu tahap lain dengan usaha mereka dan bantuan yang diberikan kerajaan.

Tambahnya, bagi menoktahkan miskin tegar dalam negara perlu tanggungjawab bersama, iaitu kementerian-kementerian berganding bahu dan segala bantuan mahupun program sedia ada juga akan diselaraskan melalui IPR.

IPR merangkumi tiga model iaitu Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) yang diwujudkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian rakyat.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ada peserta INSAN di bawah IPR berjaya memperoleh pendapatan RM450 sehari ketika Ramadan menerusi bisnes mesin layan diri.

Beliau berkata, ia menunjukkan bahawa dengan mengikuti kerangka IPR disediakan, peserta program itu boleh mendapat anggaran pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

BACA JUGA: Retorik ‘salah DAP’ bakal berkumandang