Jualan Mega Ehsan Aidilfitri mulai 15 April di seluruh Selangor – Exco
Program jualan murah yang menyediakan lebih banyak barangan keperluan harian akan diadakan selama enam hari mulai 15 hingga 20 April ini di negeri Selangor.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani , Ir Izham Hashim menjelaskan sebanyak 23 lokasi ditetapkan di seluruh negeri termasuk jualan besar-besaran pada dua hari pertama iaitu pada 15 dan 16 April.
Katanya, Jualan Mega Ehsan Aidilfitri dibuat serentak di pekarangan Stadium Sungai Besar, Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat dan tapak bazar Ramadan Batang Kali, Hulu Selangor pada 15 April.
Menjelaskan lokasi lain akan diumumkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), beliau berkata program sama diteruskan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pasar Muhibbah Setia Alam dan Sungai Tua pada keesokannya.
“Jualan ini memanfaatkan lebih 50,000 orang dan jualan keseluruhan dianggarkan RM1.5 juta dengan 30 peratus nilai subsidi daripada kerajaan negeri,” katanya lapor Selangorkini.
Izham berkata jualan tersebut juga menawarkan kuantiti barangan lebih banyak termasuk lebih 36,000 ekor ayam berbanding penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) pada hari biasa.
Beliau menambah waktu jualan antara mulai jam 9 pagi hingga 8 malam, lebih lama berbanding program JER bagi memberi ruang kepada penduduk mendapat keperluan menjelang hari raya.
“Program ini bagi meringankan beban rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dalam menyediakan kelengkapan menu hari raya,” katanya.
JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Turut dijual, barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.
BACA JUGA: Jualan Rahmah, Jualan Ehsan banyak membantu rakyat
Â