Kenaikan elaun guru KAFA tetap dibayar, salur melalui kerajaan negeri

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan jaminan semua pembayaran kenaikan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk bantuan one-off kepada imam dan bilal akan dilaksanakan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya akan menguruskan semua pembayaran berkenaan termasuk tunggakan sejak Januari lalu melalui Kerajaan Negeri sebaik sahaja peruntukan diterima.

Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan pihak tertentu mengatakan bahawa bayaran bantuan one-off kepada imam, bilal dan guru KAFA tidak termasuk dalam senarai bantuan pihak kerajaan.

”Pembayaran kenaikan elaun guru KAFA akan dibayar secara tunggakan bermula Januari 2023 kepada semua guru KAFA di seluruh negara.

“Dengan kenyataan ini, JAKIM menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bantuan berkenaan tidak termasuk dalam senarai bantuan pihak kerajaan.

”Kami amat memahami kegusaran beberapa pihak mengenai pembayaran tersebut seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu turut melibatkan petugas masjid dengan memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.

BACA JUGA: 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dapat RM600