Laporan nahas Double Six: Pengajaran buat kerajaan, amal ketelusan

Bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, pendedahan laporan akhir pesawat terhempas pada 1976 yang dikenal sebagai ‘Tragedi Double Six’, perlu dianggap pengajaran besar buat kerajaan agar mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti.

Beliau berkata, ia sepatutnya diterbitkan kepada orang awam sejak 47 tahun lalu memandangkan penerbitan laporan itu mendedahkan bahawa tiada unsur keselamatan awam untuk menjadi alasan untuk laporan itu dirahsiakan selama hampir lima dekad.

Laporan itu katanya, perlu diterbitkan sejak awal lagi untuk menjelaskan kematian tragik Ketua Menteri Sabah, Fuad Stephens, bersama dengan tiga menteri negeri Sabah, dan tujuh penumpang lain dalam penerbangan tersebut.

“Perkara ini menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, untuk mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai prinsip tadbir urus baik pada setiap masa untuk mendapatkan keyakinan orang awam.

“Klasifikasi laporan nahas Double-Six Nomad yang terjadi pada 6 Jun 1976 selama 47 tahun sebelum ini telah menimbulkan pelbagai bentuk teori konspirasi politik yang pastinya dapat dielakkan sekiranya Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara telus dan bertanggungjawab pada tahun 1976,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah veteran DAP itu, ia menjadi pengajaran bahawa kerajaan pada hari ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, tidak semestinya mengetahui perkara yang terbaik untuk negara.

Apa yang sentiasa diperlukan adalah “semak imbang” yang bertanggungjawab, tegasnya.

Laporan akhir tragedi itu yang dinyahklasifikasi bermula semalam mendedahkan bahawa tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kepada nahas pesawat yang mengorbankan Fuad dan 10 penumpang yang lain.

Pesawat Sabah Air itu juga dilapor diselenggara dengan baik dan mengikut jadual yang dibenarkan.

Laporan lengkap itu dapat dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia di: https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad

BACA JUGA Sebelum nahas Sabah Air berlaku, juruterbang beritahu ‘penat dan sakit perut’