Pas mohon batal saman fitnah Mujahid isu LGBT

Pas memohon untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap parti itu berhubung dakwaan Pas bahawa Mujahid menyokong budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pas yang diwakili setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi di sini, pada 15 Februari Lalu

Memetik laporan Bernama, permohonan itu dibuat atas alasan Mujahid selaku plaintif gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan yang munasabah terhadap parti berkenaan.

Menerusi pernyataan pembelaan, Pas mendakwa pernyataan tuntutan plaintif adalah cacat dan tidak sah kerana plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan yang mempunyai kawalan serta melakukan penerbitan bagi artikel berkenaan

Pada 16 Oktober 2022, Pas dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Mujahid dengan menerbitkan kenyataan fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud Mujahid yang ketika itu menteri agama telah membenarkan, menyokong atau menerima masyarakat khususnya yang beragama Islam terlibat aktiviti LGBT dan perzinaan.

Mujahid kemudian pada 15 Disember 2022 memfailkan saman terhadap parti itu kerana didakwa dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya.

Sementara itu, peguam Noorazmir Zakaria mewakili Mujahid ketika dihubungi agensi itu berkata, permohonan Pas itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 21 Jun ini.

Mujahid sebelum ini berkata, kenyataan fitnah dibuat Pas menyebabkan beliau mengalami tekanan perasaan selain merosakkan perwatakan, nilai moral, pegangan agama, keupayaan dan kredibiliti beliau sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Sehubungan itu, beliau memohon suatu perintah supaya Pas menarik balik serta memadam kenyataan fitnah dan gambar plaintif itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman selain memohon ganti rugi am, teladan dan teruk.