Gaji, elaun kakitangan Prasarana bakal naik hingga 10 peratus

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bakal menaikkan gaji kakitangannya sebanyak empat hingga 10 peratus bergantung kepada skor prestasi kerja masing-masing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia merupakan antara enam insentif penambahbaikan faedah kepada kakitangan yang diluluskan Lembaga Pengarah Prasarana.

Menurutnya, penambahbaikan kadar elaun syif juga akan dilaksanakan terutama kepada kumpulan barisan hadapan dan kakitangan bukan eksekutif melibatkan 2,800 warga Prasarana.

Penambahbaikan kadar elaun syif tersebut sebanyak 36.3 peratus iaitu daripada RM11 kepada RM15 sehari bagi syif siang dan 53.8 peratus iaitu daripada RM13 kepada RM20 sehari bagi syif malam.

Selain itu, katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Prasarana di Petaling Jay, malam tadi, penambahbaikan kadar Elaun Pemanduan sebanyak RM10 sehari kepada kakitangan Rapid Bas turut akan dilaksanakan.

Ujarnya, langkah itu akan memberi manfaat kepada 2,300 kapten bas, sekali gus menyumbang kepada pertambahan purata pendapatan kasar bulanan mereka sebanyak RM220.

“Saya dengan sukacita juga ingin mengumumkan pelaksanaan Elaun Pasaran Interim dengan kadar minimum RM200 bagi kumpulan teknikal yang terdiri daripada juruteknik kanan, jurutera dan jurutera kanan seramai 590 orang,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Anthony Loke, Menteri Pengangkutan pilihan rakyat!