Realitinya model pentadbiran Kelantan, Terengganu bukan terbaik

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman membidas cadangan Adun Sijangkang Dato Dr Ahmad Yunus Hairi untuk menjadikan negeri Kelantan dan Terengganu  model pentadbiran sekiranya Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan pusat.

Ahmad Mustain berkata rakyat tidak seharusnya termakan dengan kata-kata yang dilontarkan pimpinan Pas tersebut kerana sehingga kini terbukti Pas gagal mentadbir kedua-dua negeri itu dengan baik.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Yunus itu dilihat lebih untuk dijadikan sebagai modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada Julai nanti.

“Kalau kita sudah pakai kereta Mercedes terbaik buat apa nak tukar kepada Proton dan kalau nak tukar sekalipun mesti kepada kereta mewah atau model yang jauh lebih baik dan bagus.

“Kalau betul nak jadikan negeri model terbaik, Selangor adalah negerinya. Dia (Yunus) duduk Selangor, pernah jadi Exco Selangor dan pasti dia tahu apa yang ada di negeri Selangor,” kata ahli PKR itu kepada Harapan Daily ketika diwawancara semalam.

Beliau pernah menganggotai Parti AMANAH sebelum ini.

Ahmad Yunus yang juga adalah Pesuruhjaya Pas Selangor dan ahli parlimen Kuala Langat mengutarakan pandangan tersebut pada 9 April dengan alasan bahawa kedua-dua Kelantan dan Terengganu bebas rasuah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hakikatnya kenyataan Yunus itu sudah tersasar daripada realiti kerana rakyat Malaysia sendiri boleh menilai pencapaian Pakatan Harapan semasa mentadbir kerajaan di Selangor selama 15 tahun yang jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan Kelantan dan Terengganu.

“Sekiranya Kelantan dan Terengganu adalah model terbaik, maka orang Kelantan dan Terengganu yang bekerja di Selangor boleh pulang semula ke negeri asal mereka supaya semua orang Selangor boleh bekerja di sini.

“Saya cukup yakin bahawa mereka (pekerja Kelantan dan Terengganu di Selangor) tidak akan mahu balik dan ini bermakna Selangor adalah negeri yang terbaik dan tidak perlu ditukar pentadbirannya,” katanya.

Dalam pada itu, Mustain turut berasa yakin bahawa PH akan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada PRN akan datang berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri itu khususnya daripada segi soal kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.

Untuk rekod, pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2022 terus mencatat peningkatan dan menyumbang 24.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, jumlah tertinggi setakat ini.

Pilihan raya negeri Selangor dijangka akan berlangsung selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri dalam bulan Jun.

Lima negeri lain yang akan turut menyaksikan pilihan raya negeri ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.