Sebelum nahas Sabah Air berlaku, juruterbang beritahu ‘penat dan sakit perut’

Laporan akhir tragedi pesawat Sabah Air yang terhempas pada 6 Jun 976 mendapati, sebelum nahas itu berlaku, juruterbang pesawat dilaporkan berada dalam keadaan kurang sihat.

Menurut laporan yang dinyahklasifikasi itu semalam, juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

Laporan berkenaan nahas udara yang meragut 10 nyawa termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens menyatakan juruterbang tersebut juga mungkin tidak cukup tidur.

“Dalam tempoh ketika pesawat itu berada di darat (on the ground) di Kota Kinabalu, komander pesawat bercakap dengan beberapa kenalan (acquaintances) dan menyatakan bahawa dia letih dan dia mengalami sakit perut ringan yang dipercayai olehnya akibat makanan yang dimakan pada malam sebelumnya di Labuan,” dipetik laporan itu.

Ia juga menyatakan berdasarkan rekod yang ada, juruterbang mempunyai ‘sejarah prestasi buruk’ dalam penerbangan dan rekod latihannya dengan Sabah Air adalah marginal.

Selain itu, laporan yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 1977 itu juga mendapati syarikat penerbangan tidak tegas dalam memastikan prosedur dipatuhi.

“Maka, semua keadaan ini menyebabkan ia berlaku, di mana juruterbang, tanpa kelaziman memenuhi banyak keperluan atau prosedur yang digariskan syarikat, sekadar berjalan secara bersahaja mengelilingi pesawat di Labuan, dan duduk di kokpit ketika semua muatan berada dalam pesawat, tanpa sedar yang taburan muatan (distribution of load) adalah salah,” kata laporan itu.

Namun demikian, laporan tersebut mendedahkan bahawa nahas pesawat yang terhempas di daerah Sembulan itu tidak membabitkan sebarang kegagalan enjin atau wujudnya sebarang kerosakan.

Pesawat tersebut didapati diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.

Kesimpulan pasukan penyiasat nahas yang dikenali sebagai ‘Tragedi Double Six’ menyatakan bahawa punca tragedi disebabkan pesawat itu hilang keseimbangan.

Kemungkinan disebabkan kedudukan pusat graviti di luar had bahagian belakang pesawat yang menyebabkan kolum kawalan tidak boleh lagi ke depan, dengan bahagian depan pesawat terangkat ke atas apabila sayap melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat.

Laporan siasatan yang disiapkan pada 25 Januari 1977 itu menganggarkan terdapat 325 lbs (147.4kg) muatan di bahagian bagasi buritan, melepasi had yang dibenarkan iaitu 198 lbs (89.8 kg).

Oleh sebab itu, walaupun kiraan berat berlepas 435 lbs (197.3kg) adalah di bawah had maksimum, pusat graviti telah lari, kata laporan itu lagi.

BACA JUGA Kerajaan nyahklasifikasi laporan siasatan nahas udara pemimpin Sabah 1976