Kes hasutan: Selepas enam hari Bukit Aman cari, Roslizal Razali akhirnya ditahan

Individu yang dicari Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak enam hari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes hasutan, akhirnya telah ditahan semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, PDRM memaklumkan bahawa lelaki dikenali sebagai Roslizal Razali berusia 46 tahun itu ditahan di ibu negara.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah laptop untuk membantu siasatan, kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada hari ini.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut; Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Suspek juga ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” jelasnya.

Terdahulu, individu terbabit disyaki memuat naik ciapan di Twitter berunsur perkauman yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Antaranya, dia berkata, seorang Ahli Parlimen DAP mungkin menganjurkan acara solat dalam gereja Kristian oleh remaja Islam susulan program ziarah rumah ibadat itu oleh sebuah NGO seliaan sebuah kementerian yang kontroversi baru-baru ini.

 

 

 

BACA JUGA Polis cari Roslizal Razali bantu siasatan