“Teruja sangat dapat jumpa PM Anwar sampai saya terlanggar dia” – Elizabeth Tan
Selebriti terkenal Elizabeth Tan memuat naik permohonan maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berhubung isu pelanggaran ketika majlis berbuka puasa pada Selasa lalu yang tular di media sosial.
Insiden tersebut berlaku ekoran keterujaannya untuk mengambil video dalam majlis bersama Perdana Menteri hingga tidak perasan Anwar sedang bersalaman dengan tetamu hingga dia tidak sengaja ‘terlanggar’ pemimpin nombor satu negara itu.
“Excited sangat dapat jumpa DS (Datuk Seri) @anwaribrahim sampai saya terlanggar dia, OMG (‘Oh My God’), im so sorry,” kata Elizabeth dalam Twitter.
Penyanyi jelita yang terkenal dengan lagu ‘Knock Knock’ itu sempat meminta maaf kerana terlanggar dan berbesar hati dapat bertemu dengan Perdana Menteri.
Menjengah ke ruangan komen, video dikongsikan Elizabeth atau Lizzy itu disifatkan menjawab tohmahan terhadap Perdana Menteri ekoran insiden ‘rempuhan’ itu.
“Terima kasih Elizabeth sebab video ini, terjawab segala fitnah dan makian yang PMX terima, semoga Allah pelihara PMX dari segala fitnah.
“Ya Allah lindungilah DSAI (Datuk Seri Anwar) dari segala hasad dengki dan fitnah jahat, permudahkan segala urusan beliau di dunia dan akhirat, amin,” kata pengguna maya.
Susulan itu, ada antara mereka yang berpendapat supaya Lizzy lebih menjaga adab dan berhati-hati apabila bertemu dengan orang ternama terutama Perdana Menteri.
“Elizabeth Tan yg mundur pada hal dia (Elizabeth Tan) Perdana Menteri sedang lalu di belakang dia.
“Walaupun anda meminati sesiapa pun, tertib harus dijaga, kata mereka.
Terdahulu tular satu rakaman video dari sisi lain yang menggambarkan seolah-olah Anwar melanggar pelakon tersebut sebelum dijadikan bahan oleh penyokong pembangkang untuk memberikan persepsi negatif.
Dilaporkan, sekitar 1,000 pengamal media dan penggiat seni hadir pada majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) yang berlangsung pada Selasa lalu.
Majlis berbuka puasa itu menjadi tumpuan ratusan wartawan dan jurugambar termasuk editor kanan syarikat media memandangkan ini merupakan Ramadan pertama Anwar meraikan mereka sebagai Perdana Menteri selain turut disertai golongan penggiat seni tanah air.
BACA JUGA: PM Anwar harap penggiat seni, pengamal media isi peranan bina Malaysia Madani